Pengarah terkenal tegur Neelofa – “Imej kau patutnya disayangi, bukan makin dibenci..”


Pengarah dan penerbit terkenal, Shahrulezad Mohameddin menasihati usahawan dan selebriti popular Neelofa supaya merehatkan diri seketika daripada menggunakan media sosial.

Menerusi laporan Harian Metro, pengarah drama bersiri Nur itu berkata, ini kerana selebriti berusia 32 tahun itu dan suaminya, Haris Ismail sentiasa menjadi perhatian ramai buat masa ini dalam kalangan warganet.

“Saya tegur dan beri nasihat ini kerana ambil berat. Harap, dia (Neelofa) tak ambil hati. Nasihat ini, saya tujukan juga kepada kawan artis dan selebriti lain.
“Kalau dapat rentas negeri tu, senyap-senyap sudah. Tak payah nak kongsi segalanya di media sosial masing-masing. Setakat beli karpet je pun.
“Netizen bukannya suka sebab kebanyakan netizen tak dapat kelebihan yang sama macam kamu semua yang boleh sewenang-wenangnya…
“…rentas sana sini atas gelaran selebriti. Tolong jangan bangkitkan kemarahan orang ramai,” katanya menerusi laporan tersebut.

Selain itu, bercakap mengenai tindakan pasangan berkenaan yang didakwa merentas negeri ke Nilai 3, Shahrulezad berkongsi pendapat peribadi bahawa Neelofa mempunyai sikap ‘laparkan’ perhatian.

“Kadang-kadang, saya rasa Neelofa ni memang sejenis craving (laparkan) perhatian sebegini. Sengaja cari masalah. Sikit punya banyak kedai karpet di Kuala Lumpur, yang kau gigih merentas sampai ke Nilai tu, dah kenapa?
“Tu satu hal la. Cuma, kenapa memuat naik video di Instagram Story tu dan kemudian padam. Kau tak tahu ke netizen kita ni semua sejenis ikan jerung laparkan darah, yang pantang ko buat silap?
“Minggu lepas, kau muat nak gambar burger, lepas tu padam. Orang kecam, kau dengan ayat pijak semut tak mati cakap netizen bersangka buruk pada kau.
“Lepas tu, buat benda sama lagi sekarang. Kau dah kenapa? Suka ek orang kecam cerca macam ni? Lapar ek?,” ujarnya.

Tambah Shahrulezad, imej purdah atau niqab yang ditampilkan bekas pengacara MeleTOP itu sepatutnya disayangi ramai dan bukan semakin dibenci akibat tindakan sendiri.

Semalam, kecoh di laman Twitter apabila Neelofa didakwa memuat naik video di InstaStory memaparkan dia dan suami mengunjungi sebuah kedai karpet yang dikatakan terletak di Nilai 3, Negeri Sembilan.

Berikutan itu, netizen meluahkan rasa bengang apatah lagi pasangan tersebut pernah dikompuan kerana merentas negeri ke Langkawi selain melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB ketika melangsungkan majlis pernikahan pada 27 Mac lalu.

Sumber: Harian Metro (Norhayati Nordin)