Laung Takbir Raya Ramai2 Di Masjid Al-Aqsa, Rakyat Palestin Bersemangat Rai Aidilfitri
Berikutan kedua-dua belah pihak telah bersetuju mengadakan gencatan senjata awal pagi tadi, rakyat Palestin akhirnya berpeluang menyambut Aidilfitri dengan aman.
Sebaik sahaja jam menunjukkan detik 2 pagi, ramai yang berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan menyambut kemenangan kecil mereka dengan bunga api, perakan serta sorakan gembira.
Berarak dan bersorak rai kemenangan
Selepas itu, mereka menuju ke Masjid Al Aqsa untuk melaungkan takbir raya menandakan ketibaan bulan Syawal dan permulaan sambutan Aidilfitri di negara mereka.
Menerusi laman sosial Twitter, seorang pengguna dikenali sebagai @JatIkhwan berkongsi kemeriahan yang sedang berlaku di Palestin pada ketika ini.
Laung takbir raya sambut Aidilfitri
Sejak gencatan senjata diumumkan, ramai yang berpusu-pusu menuju ke Masjid Al Aqsa dan bersujud syukur dahulu sebaik tiba di perkarangan masjid.
Sementara menanti waktu subuh, mereka melaungkan takbir raya beramai-ramai tanpa henti.
Dalam video dikongsi oleh @JatIkhwan, jelas kedengaran suara rakyat Palestin yang sebak bercampur gembira tatkala melaungkan takbir buat kali pertama setelah 11 hari bertempur dengan zionis Israel.
Meriahkan suasana dengan bermain bunga api
Selain itu, kali ini tiada lagi bedilan roket tetapi dentuman bunga api pula memecahkan suasana hening dan menghias langit pagi Syawal di sana.
Edar manisan dan menziarahi keluarga mangsa yang terkorban
Bukan itu sahaja, para wanita turut turun padang menyambut kemenangan itu dengan mengedarkan manisan secara percuma buat semua orang yang berada di Masjid Al-Aqsa.
Malah, ada juga yang menziarahi rumah mangsa yang terkorban ketika serangan bom dan roket Israel, bagi memberi semangat kepada ahli keluarga yang masih hidup.
Terdahulu, Hamas dan Zionis Israel bersetuju mengadakan gencatan senjata yang bermula awal pagi Jumaat ini, jam 2 pagi waktu tempatan.
Untuk rekod, perang yang bermula sejak 10 Mei itu telah mengorbankan 232 nyawa rakyat Palestin termasuk 65 kanak-kanak.
Angka korban Zionis Israel pula disahkan setakat ini seramai 12 orang dengan ratusan cedera dalam serangan roket Hamas.
Alhamdulillah.
Sumber: Twitter @JatIkhwan