Kucing mati tersepit dipercayai ada unsur khianat
Seekor kucing ditemui mati tersepit dalam keadaan menyayat hati dipercayai melibatkan khianat di sebuah bank di Taman Tampoi Utama, Tampoi, di sini, awal pagi hari ini.
Persatuan Haiwan Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, kejadian itu disedari orang awam pada pukul 3 pagi sebelum memaklumkannya kepada persatuan tidak lama kemudian.
Menurut kenyataan itu, kucing berkenaan mati tersepit di pintu ‘roller shutter’ bank terbabit dipercayai angkara perbuatan khianat.
Katanya, kematian kucing itu seperti sengaja dilakukan dengan cara menahan kucing sewaktu ‘roller shutter’ sedang turun secara perlahan untuk menutup pintu ruang mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
“Kucing tidak akan tunggu di satu lokasi jika berlaku bunyi bising. Sudah tentu bunyi ‘roller shutter’ kuat sewaktu turun akan memeranjatkan kucing dan kucing akan berlari pergi.
“Kejadian ini seolah-olah badan kucing itu sengaja ditahan hingga leher kucing tersepit,” menurut kenyataan yang dimuatnaik dalam akaun Facebook rasmi persatuan itu hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, pihaknya percaya kejadian berlaku pada pukul 12 tengah malam kerana itu merupakan waktu penutupan ‘roller shutter’ secara automatik.
“Setiap bank akan menutup pintu ‘roller shutter’ ATM pada pukul 12 tengah malam dan hanya membukanya semula pada pukul 6 pagi.
“Sehubungan itu, selain mengharapkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak bank untuk mengetahui kejadian sebenar, persatuan turut memohon saksi kejadian untuk berkongsi maklumat melalui talian 011-20901097 agar pelakunya dapat dikesan,” tambah kenyataan itu.-K! ONLINE