Abang polis jadi bidan ekspres selamatkan wanita nak beranak


Kebetulan atau suratan takdir apabila seorang anggota polis lelaki yang pernah menjadi ‘bidan ekspres’ 13 tahun lalu, sekali lagi menyelamatkan seorang wanita yang melahirkan bayi di dalam tandas.

Anggota polis terbabit, Koperal Mohd Zahri Ramzan, 35, berkata, insiden berlaku ketika dia baru keluar dari rumahnya di Kampung Padang Balang Hilir di sini, untuk bekerja sekitar jam 7.40 pagi kelmarin.

Menurutnya, seorang wanita dalam keadaan cemas muncul dan meminta bantuan susulan salah seorang jiran mereka melahirkan bayi mendadak.

“Saya kemudian bergegas ke rumah berkenaan sebelum mendapati seorang wanita berusia awal 30-an dalam keadaan terbaring kesakitan di dalam tandas.

“Saya dapati wanita itu amat lemah dan baru melahirkan seorang bayi lelaki. Kami dimaklumkan wanita itu mulanya mengadu mahu membuang air besar sebelum melahirkan bayi tidak cukup bulan secara tiba-tiba,” katanya.

Berikutan keadaan sempit di dalam tandas itu, dia dibantu seorang lagi jiran berusaha mengusung keluar mangsa secara perlahan-lahan dari dalam tandas berkenaan.

“Wanita itu kemudian dibaringkan di ruang tamu rumah. Ketika itu saya dapati uri bayi berkenaan masih berada di dalam rahim wanita terbabit.

“Bimbang ia boleh membahayakan nyawa wanita itu, saya memintanya meneran supaya uri itu dapat dikeluarkan.

“Alhamdulillah, uri itu akhirnya dapat dikeluarkan sebelum dibalut dengan kain sementara menunggu ambulans tiba. Saya kemudian memangku bayi itu sebelum membersihkannya menggunakan kain,” katanya.

Dia yang bertugas di Bahagian Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman berkata, wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menaiki ambulans sekitar jam 8.15 pagi.

“Saya tidak sangka perlu berhadapan situasi sama selepas pernah menyambut kelahiran seorang bayi perempuan di pintu rumah penduduk di Wangsa Maju di sini, pada Mac 2007.

“Dalam kejadian itu seorang wanita tidak sempat dibawa ke hospital sebelum melahirkan bayi. Mujur ilmu diperoleh ketika menjadi anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) banyak membantu saya berdepan detik cemas begini,” katanya.