Sudah tiba masa rakyat biasa pula menjadi ‘frontliners’
Sudah tiba masa untuk rakyat Malaysia menjadi barisan hadapan dan bukan hanya mengharapkan pihak berkuasa semata-mata dalam usaha membendung penularan C0VID-19.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, rakyat boleh memainkan peranan itu dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Bagaimanapun beliau bimbang kerana berpendapat masyarakat belum memahami dengan mendalam mengenai tanggungjawab masing-masing bersama pihak berkuasa dalam memerangi virus tersebut.
“Dalam soal pematuhan, kalau masyarakat tak ubah sikap dan rasa tak perlu ambil berat… anggap keadaan tidak serius, semuanya bawah kawalan… lama-kelamaan ini tentu akan menimbulkan satu masalah besar untuk negara kita,” katanya dalam temu bual Skype bersama Astro AWANI pada Isnin.
Mengulas peningkatan kes dalam beberapa hari lepas, Lam Thye berkata ia mungkin berlaku kerana rakyat sudah sampai pada tahap selesa, maka mereka tidak lagi mematuhi SOP dengan bersungguh-sungguh.
“Saya rasa rakyat di Malaysia terutamanya masyarakat kita pada peringkat permulaan telah beri banyak kerjasama, mereka usaha bersama dengan KKM (Kementerian Kesihatan), memastikan bahawa SOP diikuti, dipatuhi.
“Tapi nampaknya apabila mereka mendapat tahu bahawa trend wab4k itu menurun, jadi mereka rasa boleh lega dan saya fikir ini boleh menjadi punca masalah (peningkatan kes),” ujarnya.
Tambahnya, sekiranya Malaysia tidak berwaspada, tidak mustahil boleh wujud gelombang seterusnya di negara ini seperti yang berlaku di Australia, Korea Selatan dan Jepun.
Kerajaan hari ini menzahirkan kebimbangan terhadap penularan C0VID-19 di negara ini selepas 13 kluster baharu dikesan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kes positif di negara ini juga kembali mencatatkan angka dua digit sejak beberapa hari lalu.
Justeru itu, beliau menasihatkan rakyat agar tidak mengambil mudah isu berkenaan bagi mengelakkan kerajaan melakukan tindakan lebih tegas termasuk melaksanakan sekatan pergerakan yang lebih ketat sekali lagi.
“Saya pasti saudara-saudari tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan lockdown sekiranya kes-kes C0VID-19 meningkat dengan mendadak.
“Saya juga berdoa dan berharap agar kita tidak perlu sampai ke tahap itu (Perintah Berkurung). Cukuplah tiga bulan kita semua berkurung di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan C0VID-19.
“Ekonomi negara kita terjejas teruk, perniagaan mengalami kerugian dan ramai yang hilang pekerjaan. Sudah tentu kita tidak mahu kembali hidup dalam keadaan lockdown seperti itu,” katanya, pada Isnin.
“Penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 bilion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia,” katanya lagi.
Malaysia masih mencatatkan peningkatan dua digit bagi kes baharu C0VID-19 dengan 21 kes dilaporkan setakat 12 tengah hari Isnin menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini sebanyak 8,800 kes.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham, daripada 21 kes baharu yang dilaporkan, 15 adalah kes penularan dalam negara.
Pesanan “abah” dalam Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini

TERDAHULU, perutusan oleh “abah” selepas agak lama tidak muncul di kaca televisyen hari ini menyaksikan pelbagai pesanan telah dititipkan dalam usaha mengelakkan peningkatan mendadak jangkitan C0VID-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) antara lain menzahirkan kebimbangan susulan 13 kluster baharu dikesan sepanjang PKPP.
Beliau dalam pada itu menasihati rakyat di negara ini agar tidak mengambil mudah perkara itu bagi mengelakkan kerajaan mengambil langkah lebih tegas termasuk melaksanakan Perintah Berkurung.
Beliau dalam pada itu menasihati rakyat di negara ini agar tidak mengambil mudah perkara itu bagi mengelakkan kerajaan mengambil langkah lebih tegas termasuk melaksanakan Perintah Berkurung.
Berikut tumpuan Perutusan Khas tersebut:
1. Kerajaan pertimbang langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam. Perincian akan diumum apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan.
2. Kerajaan zahir kebimbangan terhadap penularan C0VID-19 selepas 13 kluster baharu dikesan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPP.
3. Rakyat di negara ini hampir menjalani kehidupan seperti biasa sejak pelaksanaan PKPP pada 10 Jun 2020. Petanda baik apabila sektor ekonomi sudah mula rancak.
4. Muhyiddin turut mengingatkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara supaya menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dengan penuh disiplin.
5. Kegagalan mematuhi arahan pengasingan, penalti boleh dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, jika disabitkan kesalahan.
Sumber: Awani
